APAKAH PERKATAAN ORANG SABAH YANG GANJIL?
Sabah Negeri Di Bawah Bayu sememangnya sinonim dengan kepelbagaian dan budaya. Malah terdapat 'bahasa' unik yang sering kedengaran bila kita berada di Sabah. Bah.. mari kita belajar sikit sikit dengan bahasa Sabah.
1. HAUS
Haus adalah perkataan dalam Bahasa Melayu. Namun di Sabah, perkataan ini bukan sekadar menunjukkan seseorang itu perlukan air tetapi maksud 'haus' lebih dari itu. Ia sinonim dengan keinginan atau hajat seseorang ( biasanya kawan rapat) untuk meminta belanja minum. Dan dalam sesuatu keramaian bagi non-Muslim bangsa KadazanDusun, ia lebih kepada keinginan atau hajat untuk meminum minuman alcohol seperti bir atau tapai untuk menghilangkan dahaga. Jadi jangan hairan apabila anda melihat gelagat sabahan menyebut perkataan ‘haus’ sambil memegang leher. Ia adalah sekadar satu bentuk gurauan kepada teman-teman rapat.
2. ARAMAITI
Perkataan ‘aramaiti’ adalah dalam bahasa Dusun dari kata asal aramai ( syok / menarik /menggembirakan). Ambil contoh perkataan di bawah
Aramai mongomot ( menuai padi) bermaksud “ syoknya menuai padi ” bermakna menuai padi adalah satu aktiviti yang menggembirakan dan menarik.
Aramaiti adalah dua perkataan yang digabungkan iaitu “ aramai” dan “ iti”. Iti bermaksud “ ini” tetapi lebih kepada kata bual iaitu “nih”.
Kini, perkataan ARAMAITI semakin popular dan beberapa buah lagu bertemakan "aramaiti" yang dinyanyikan artis-artis tempatan
3. BAH
Di Sabah, bah bukan bermaksud banjir. BAH adalah satu bentuk kata seru. Ada beberapa keadaan dimana perkataan BAH diungkapkan. Contoh-contoh ayat di bawah;
“ BAH. MARI JALAN” –Maksudnya “ OK. Mari beredar”
“ BOLEH BAH KALAU KAU” –Maksudnya “ Kalau awak tak ada masalah” atau “ Awak boleh melakukannya”
Hanya Sabahan atau mereka yang dah biasa dengan perbualan Sabah sahaja yang benar-benar dapat meletakkan ungkapan BAH ditempat yang betul ketika berbual. Oleh itu adalah lebih elok sekiranya anda tidak menggunakan BAH jika tidak faham maksud sebenar kerana ia akan jadi bahan ketawa orang Sabah pula dan dianggap cacat.
4.BOSSKU
Perkataan bossku sering digunakan oleh orang-orang Sabah. Ungkapan bossku diungkapkan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada seseorang sebagai tanda hormat dan persahabatan.
5.TELINGUNG
Kalau anda datang ke Sabah dan mendengar perbualan seperti ini,
“ Telingung punya urang “ bermakna orang yang bercakap tadi tidak menggemari seseorang. Dan awas jika dia tujukan kepada anda seperti ini.
“ Kau ini telingung betul “ bermakna “ awak ni betul-betul bodoh”
Jadi telingung itu membawa maksud yang kurang baik seperti bodoh atau orang yang kebingungan.
6.TUHAU
Perkataan TUHAU berasal dari perkataan Bahasa Kadazan Dusun. Nama saitifik bagi Tuhau adalah E. Coccinea. Asalnya Tuhau adalah sejenis tumbuhan liar yang boleh didapati di hutan-hutan di Sabah. Kini Tuhau merupakan tanaman popular kerana ia telah menjadi salah satu makanan kegemaran bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh Malaysia.
Produk berasaskan Tuhau seperti jeruk Tuhau dan seruding Tuhau menjadi salah satu tarikan pelancong dan sumber pendapatan pengusaha Tuhau di Sabah. Malah seruding Tuhau kini didapati dijual secara online.
Tidak mustahil satu hari nanti ada pengusaha Tuhau yang akan memasarkan produk ini besar-besaran dimana proses delivery ke seluruh pelusuk dunia seperti Amazingnara
7.KUNGKUNG
![]() |
kungkung lada putih |
Kungkung adalah sejenis makanan berasaskan kulit kerbau yang dilepah dan diproses menjadi makanan eksotik. Di Semenanjung ia biasa dipanggil 'belulang' Melepah, membersih, mencuci dan merendam adalah proses yang mungkin agak menjengkelkan bagi sesetengah orang. Namun bagi penggemar kungkung, ia adalah perkara biasa kerana citarasa kungkung yang lain dari yang lain. Ia sangat menyelerakan apabila dimasak bersama lada putih dan halia.
0 Ulasan