BAHAYA TABIAT MAKAN SIRIH PINANG


Baru sebentar tadi saya dikejutkan dengan berita seorang kawan dikesan mengidap kanser mulut. Ia mengingatkan saya pada 15 tahun lalu dimana ibu saya juga menghidap kanser mulut. Kedua-dua mempunyai persamaan iaitu tabiat suka memakan sirih pinang berkapur.




Makan pinang bersama daun yang dibubuh kapur sangat merbahaya apabila bertindakbalas dengan mulut yang mengalami luka. Walaupun makan sirih adalah satu kebiasaan bagi sesebuah keluarga terutama di Sabah, tidak ramai yang sedar akan bahaya memakan sirih pinang berkapur ditambah lagi dengan menguyah tembakau!

Saya teringat peristiwa dulu dimana ibu saya dikesan mendapat kanser tahap tiga. Pada mulanya, ia satu benjolan kecil dekat pipi, ia tidak sakit. Tapi selepas dua tahun benjolan semakin membesar seperti sebiji guli dan keluarga kami yang ‘alpa’ dan tidak tahu apa-apa berkaitan kanser hanya menyedarinya apabila berjumpa dengan doktor pakar di HQE Kota Kinabalu.

Dulu, saya ingat ibu saya seorang pemakan sirih yang tegar, sehinggakan tidur pun sirih pinang masih berada dalam mulutnya. Memakan sirih ni mungkin seperti merokok atau minum kopi dimana membuatkan seseorang menjadi ketagih.
Sebenarnya bagi masyarakat Dusun di Sabah, sirih pinang adalah seperti hidangan makanan yang wajib ada ketika menyambut tetamu dan rakan-rakan. Berbual dan berbincang sambil memakan sirih adalah satu kebiasaan yang sebenarnya mengeratkan tali persaudaraan. Tapi masalahnya, daun pinang yang dibubuh dengan sirih ini sangat merbahaya.

Dulu-dulu ibu saya membuat sendiri kapur dengan membakar kulit kerang dalam api yang membahang sehingga kulit kerang tersebut menjadi putih. Ia kemudian ditumbuk sehingga hancur menjadi kapur sirih tanpa menyedari kapur tersebut akhirnya meragut dirinya.

Artikel ini bukan untuk menakut-nakutkan mereka yang memakan sirih dengan kapur, tetapi ia adalah nasihat ikhlas daripada saya yang kehilangan ibu akibat memakan sirih pinang berkapur dengan cara yang salah. Pihak Kementerian Kesihatan sendiri banyak mengeluarkan amaran tentang bahaya makan sirih berkapur tetapi ia seolah-olah tidak diendahkan walaupun statistik menunjukkan kebanyakan kanser mulut di Sabah disebabkan oleh kegemaran masayarakat memakan sirih pinang berkapur.

Walaupun tidak dinafikan banyak khasiat daun sirih dan pinang, cara pemakanan yang salah akan memudaratkan mereka yang memakan sirih pinang dan belet ( sinik).

Artikel ini bukan nasihat profesional, ia hanyalah pendapat saya berdasarkan pengalaman sebenar. Untuk ,mendapat informasi berkenaan kanser mulut anda boleh baca artikel dari Kementerian Kesihatan di link di bawah.


Catat Ulasan

0 Ulasan