KAUM KADAZAN DUSUN TIDAK LAGI BERTUTUR BAHASA IBUNDA MEREKA??
Percaya atau tidak, suku kaum Dusun di Sabah
merupakan suku kaum yang dikhuatiri bakal kehilangan identiti sebagai satu
bangsa di dunia. Untuk rekod, suku kaum Kadazan Dusun merupakan salah satu kaum
terbesar di Negeri Sabah dan merupakan salah satu penduduk asli di Negeri di
Bawah Bayu.
Walaupun, kaum Kadazan Dusun merupakan suku
kaum yang kaya dari segi budaya dan tradisi, generasi baru atau ‘sukod wagu’
yang lahir selepas 90an tidak lagi mampu bertutur dalam Bahasa Ibunda. Ia
adalah satu perkara yang amat menyedihkan namun ia seakan perkara yang remeh
bagi sebilangan ibu bapa.
Hakikatnya, masalah ini bukan sahaja berlaku
kepada suku kaum Kadazan Dusun, ia juga berlaku kepada suku kaum lain seperti
Suku kaum Bajau dan Murut. Kebanyakan generasi baru langsung tidak bertutur dalam
Bahasa Ibunda sebaliknya Bahasa Melayu
atau Bahasa Inggeris merupakan bahasa petuturan di rumah.
Antara faktor utama yang menyemai kepada
peralihan Bahasa Ibunda kepada Bahasa Melayu atau Inggeris ialah sikap ibu bapa
sendiri yang lebih suka bertutur dalam BM atau BI semasa di rumah dan pertuturan harian. Namun segelintir
daripada mereka tidak boleh dipersalahkan kerana kemungkinan ada yang kahwin
campur dengan suku kaum lain dan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung.
![]() |
Photo by Getty Images |
Sebenarnya, ramai ibu bapa yang mengajar
anak-anak mereka bertutur Dusun sewaktu di rumah sejak lahir. Namun apabila
anak-anak tersebut melangkah ke sekolah tadika, mereka mula bertutur dalam
Bahasa Melayu. Ditambah lagi dengan pengaruh Tv dan rakan sebaya.
Ia menunjukkan sistem pembelajaran yang
diterapkan di tadika tidak banyak membantu dalam mengekalkan pembelajaran dalam
Bahasa Ibunda. Perkara ini sepatutnya diambil berat dalam sistem pendidikan
kerana pada waktu inilah mereka sepatutnya diajar Bahasa mereka sendiri disamping Bahasa Kebangsaan.
Matapelajaran Bahasa Kadazan Dusun sudah
bermula sejak Januari 1997 dan sehingga kini, ia telah diperluaskan sehingga
menjadi salah satu subjek pembelajaran diperingkat Universiti. Dalam hal ini, mereka
yang terlibat dalam usaha ini wajar diberikan pujian terutama pemimpin politik dan
NGO seperti USDA dan KDCA kerana berjaya menjadikan ia sebagai satu realiti.
Bagaimanapun, jangan pula sampai matapelajaran
ini dibuang oleh Kementerian Pendidikan hanya kerana polemik yang dibuat oleh
segelintir pemimpin kaum itu sendiri terutama berbezaan pendapat tentang
isu-isu pembakuan bahasa.
Untuk rekod, bahasa berteraskan Kadazan Dusun
mempunyai lebih daripada 40 dialek berasaskan daerah-daerah di Sabah. Dialek
Bundu Liwan adalah dialek yang digunakapakai sebagai Bahasa Pembelajaran Kadazan
Dusun. Dialek Bundu dan LIwan adalah dialek yang dituturkan di daerah-daerah
seperti Kota Belud, Ranau, Tamparuli, Keningau, Sook dan Penampang.
Kesedaran tentang pentingnya memelihara Bahasa
Ibunda sudah wujud sejak sekian lama. Sebagai contoh, dalam surat-surat khabar
di Sabah sudah ada selitan Bahasa Kadazan Dusun sejak tahun 1960 an lagi begitu
juga segmen-segmen di radio. Satu-satunya segmen yang mengekalkan rancangan dan
segmen Bahasa Kadazan Dusun ialah VFM RTM . Surat-surat khabar di Sabah seperti Daily
Express dan Sabah Times juga mempunyai segmen Bahasa Kadazan Dusun dalam setiap
terbitan namun kini hanya tinggal
kenangan seiring dengan perkembangan teknologi digital.
Perayaan seperti Pesta Kaamatan seharusnya
menjadi platform terbaik untuk mempromosikan Bahasa Kadazan Dusun. Disamping
Pertandingan Nyanyian ( Sugandoi Kaamatan ) , pertandingan Ratu Cantik ( Unduk
Ngadau ) pula dikritik kerana dilihat semakin hilang identiti. Ia sepatutnya
menjadi medan untuk mempromosikan bahasa Ibunda tersebut samada sewaktu
pemilihan Unduk Ngadau atau selepas dipilih. Namun apa yang dilihat, tidak ramai
Unduk Ngadau yang mempromosikan Bahasa Ibunda selepas dinobatkan sebagai Unduk
Ngadau.
Dari sudut lain, lagu-lagu Kadazan Dusun yang
popular telah menjadi alat yang penting untuk mengekalkan minat generasi muda
terhadapa Bahasa Ibunda. Ia seakan medan magnetik yang mengekalkan generasi
muda dan lama untuk bertutur dan memahami Bahasa Ibunda. Artis-artis seperti
Mendiang John Gaisah, Francis Landong, Hain Jasli, George Lian mahupun Aloysius
Mojiis telah menghasilkan puluhan lagu Bahasa Kadazan Dusun.
Seiring dengan perubahan teknologi, kita
berharap ramai kaum KDM yang menghasilkan content dalam Bahasa Ibunda untuk
tontonan di media-media sosial kerana ia penting untuk mengekalkan Bahasa ini dari terus pupus. Ramai bakat-bakat dari kaum KDM yang berbakat dan mempunyai peminat yang ramai, apa salah terus promosikan Bahasa sendiri.
Tohuri noh, kaino toririmo minsingilo boros
tokou sendiri, mimboros do boros tokou sondiri do tikid tadau moi amu atalup
tinaru tokou.
0 Ulasan