TIPS PERCUTIAN KE KUNDASANG, RANAU.
Bagi anda yang tidak pernah berkunjung ke
Negeri Sabah dan Kundasang khasnya, pasti inginkan sedikit maklumat sebagai
panduan. Sebagai ‘tuan rumah’ disini saya akan kongsikan kepada anda beberapa
tips agar percutian anda berjalan lancar dan dalam suasana yang menggembirakan.
Jarak perjalanan dari Kota Kinabalu ke
Kundasang adalah sekitar 90 KM dan tempoh perjalanan adalah lebih
kurang 2 jam. Disebabkan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit bukau, maka
jalan raya juga akan menjadi turun naik dan berliku-liku. Jauh berbeza dengan lebuhraya di
Semenanjung yang agak landai dan rata. Laluan jalan pula hanya terdiri dari dua lorong kiri kanan dan agak sukar untuk memintas kenderaan yang berada di depan.

![]() |
Kundasang Guest House |
Lebih kurang satu jam dari Kota
Kinabalu, anda akan melalui pekan yang menjual kraftangan dan produk tempatan
di Pekan Nabalu. Di Pekan Kecil ini, anda akan mula terpesona dengan
pemandangan gunung Kinabalu yang betul-betul memancar sekitar Pekan Nabalu.
Anda boleh mengambil gambar yang menarik untuk kenang-kenangan. Untuk makluman anda,
hampir seratus peratus penduduk sekitar Pekan Nabalu adalah Bumiputera Sabah yang
berketurunan kaum Dusun berugama Kristian dan Islam.

Selepas berehat seketika di Pekan Nabalu, anda
akan menikmati pemandangan Gunung Kinabalu sepanjang perjalanan namun pada masa-masa tertentu anda
akan ditemani oleh kabus tebal dan suhu sejuk sehingga 16 darjah celcius.
Kampung-kampung berada tidak jauh dari jalan
besar dan hampir semua penduduk disekitar sini adalah suku kaum Dusun. Pada
musim buah-buahan, anda akan dapati banyak
gerai di sepanjang jalan yang menjual pelbagai buah-buahan tempatan seperti
bambangan, langsat, tarap dan durian.
Lebih kurang 3o minit dari Pekan Nabalu, singgahlah sebentar di gerai Tinompok yang menjual pelbagai jenis sayur-sayuran
tempatan. Tempat ini juga terkenal sebagai lokasi yang paling sejuk di Sabah dimana suhu di sini boleh mencecah 10 darjah celcius. Lokasi ini merupakan transit penduduk sekitar Bundu Tuhan yang mula bergerak samada balik ke kampung atau balik ke Kota Kinabalu dan
Ranau. Laluan mereka adalah di sebelah kiri jalan utama ke Ranau. Laluan ini juga adalah jalan menuju ke beberapa kampung termasuk
Kg. Bundu Tuhan dan Himbaan di mana terletaknya destinasi percutian Hounon.
Jalan menuju ke perkampungan ini agak curam namun boleh dilalui oleh kenderaan
biasa. Sekiranya anda memandu sendiri, pastikan anda menekan break secara ‘tekan-release
dan tekan, kerana brake tanpa rehat akan menjadikan break kenderaan panas dan
tidak berfungsi.
Tidak jauh dari Tinompok adalah National Park
Heritage Site, lokasi popular pendakian Gunung Kinabalu. Rugi jika anda tidak
singgah ke sini sekiranya anda berada di Sabah. Anda berada di perut banjaran Crocker dan nikmatilah udara segar dan nyaman berserta pemandangan Kinabalu dengan lebih dekat di sini. Untuk masuk di Taman Kinabalu, terebih dahulu anda perlu membayar yuran masuk di gate masuk. Tak mahalpun,
cuma sekitar RM3 (tempatan) hingga Rm15 (pelancong asing ). Tempat ini juga
boleh dijadikan sebagai lokasi beristirehat, namun pastikan anda sudah menempah
dengan lebih awal. Pemandangan paling cantik disini ialah pada waktu pagi
semasa Gunung Kinabalu bercahaya disinari sang mentari. Anda juga boleh
menikmati keindahan flora dan fauna yang jarang terdapat di lokasi lain.
Seterusnya anda akan menuju ke Kundasang
dimana tempoh perjalanan lebih kurang 10 minit sahaja dari National Park.
Banyak dekorasi yang dibina untuk memastikan pelancung dapat mengambil
gambar-gambar yang menarik. Kundasang dikelilingi oleh
kebun-kebun sayuran tanah tinggi. Terdapat sebuah Pekan Kecil dan gerai-gerai menjual
sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan. Di pekan Kundasang anda boleh
mendapatkan bahan-bahan makanan sebelum meneruskan perjalanan. Jangan risau
kerana di Pekan ini juga terdapat kedai farmasi yang lengkap dan sebuah restoran KFC.
Lokasi selanjutnya ialah lokasi yang terkenal
sebagai mini Switzerland iaitu pusat penternakan tenusu Mesilou Desa Farm. Ia
terletak lebih kurang 4 km dari Kundasang dan untuk sampai kesini anda akan
melalui jalan aspal yang curam. Pastikan kenderaan berada pada tahap terbaik. Namun perjalanan anda ini tidak sia-sia
kerana dilokasi ini anda akan dapati anda seolah berada di luar Negara. Dengan suasana yang cukup
sejuk dan nyaman, dikelilingi oleh rumput yang hijau dan tiupan angin sepoi dari
Gunung Kinabalu pasti menjadi pengalaman yang menarik sepanjang hidup anda. Bagaimanapun,
ada masanya si Kinabalu, diseliputi kabus tebal dan beruntunglah mereka yang
sampai kesana sewaktu cuaca baik kerana Gunung Kinabalu begitu jelas di
Mesilou.
Pusat penginapan di Kundasang tumbuh bagaikan
cendawan, anda bebas memilih mana satu yang berkenan di hati. Apa yang penting,
anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal kerana pada masa puncak,
penginapan di Kundasang sentiasa penuh. Tindakan awal anda juga dapat
memastikan anda memilih penginapan yang selamat dan sesuai untuk keluarga. Ini
adalah kerana, banyak tempat penginapan di Kundasang yang dibina tanpa mematuhi
spesifikasi yang ditatapkan agensi kerajaan, malah ada antaranya dibina
dilereng-lereng bukit yang berisiko. Seperti yang diketahui, keadaan muka bumi
Kundasang yang berbukit bukau dan mengalami gangguan gegaran beberapa tahun
lalu menjadikan struktur tanah di Kundasang terdedah kepada risiko tanah
runtuh. Saranan saya, pastikan anda memilih penginapan yang tidak terlalu
berada di lereng bukit.
Dengan sedikit informasi ini diharap percutian
anda akan berakhir dengan suasana yang gembira dan sentiasa terpahat di hati.
0 Ulasan